Hasbullah Awang meninggal dunia

Pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang, 63, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 12.20 tengah hari.
Hasbullah yang dirawat di IJN sejak 4 Februari 2015 adalah seorang pengulas sukan tersohor negara. Berkhidmat bersama saluran Astro Arena sejak Januari 2014 setelah berhenti berkhidmat sebagai pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1, Hasbullah pernah menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk kanak-kanak bersama Kak Yong.
Beliau lebih dikenali sebagai pengulas untuk pelbagai acara sukan tempatan mahupun luar negara. Beliau mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang menarik membuatkan penonton menjadi seronok mendengar setiap ulasan beliau.
Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 32, Bukit Naga Shah Alam dan dijangka dikebumikan petang ini.