Wednesday, Mar 3, 2021
HomeTV5 Sebab Mengapa Pok Ya Cong Codei Tular Di Media Sosial

5 Sebab Mengapa Pok Ya Cong Codei Tular Di Media Sosial

5 Sebab Pok Ya Cong Codei Tular

Lakonan Sabri Yunus cetus fenomena

Anda sudah menonton telefilem Pok Ya Cong Codei yang kini tular di merata media sosial? Sejak ditayangkan di saluran Citra Exclusive (Astro Citra 131 & Mustika HD 134) pada 20 Januari 2018, telefilem arahan Sabri Yunus ini mencetuskan fenomena luas biasa di kalangan penonton.

Advertisements

Berikutan tular di laman sosial Facebook, saya sendiri dua kali menonton sampai habis cerita ini yang mana menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya.  Pok Ya Cong Codei dibintangi pelakon kelahiran Kelantan seperti Mustapha Kamal, Fikry Ibrahim, Uqasha Senrose, Sadi Sabri dan Sabri sendiri.

Walaupun tiada unsur popular dan komersial dalam cerita ini, tetapi tetap mempunyai kekuatan tersendiri. Cerita yang diketengahkan cukup menarik dan menonjolkan sisi berbeza seorang samseng yang digeruni serta dihormati kerana prinsip yang dipegang.

Jadi,  tidak hairanlah apabila ramai yang sanggup menontonnya berulang kali. Lebih menarik, ada peminat yang mewujudkan fanpage group ‘Pok Ya Cong Codei’. Hebat penangannya, bukan? Sebagai menghargai usaha itu, Sabri telah memuat naik ucapan terima kasih di Instagram peribadinya.

Telefilem ini mempaparkan kisah Pok Ya,  seorang samseng otai di Kelantan. Dia mendapat tugasan daripada Datuk Sahak (lakonan Mustapha Kamal) untuk mencari dan menyelamatkan anaknya (Aina) yang diculik dengan upah RM40 ribu.

Datuk Sahak adalah kawan Pokya, seorang peguam terkenal yang menggunakan statusnya untuk kerja haram.

Aina (lakonan Uqasha Senrose) diculik Rasdan (anak kepada bekas pemandu Datuk Sahak yang dibunuh rakan kongsi beliau selepas mengetahui pembabitannya dalam kegiatan haram dan salah guna kuasa).

Di Kuala Lumpur, Pok Ya mempunyai anak-anak buah (antaranya Halim, Nasir Badak/Nasir Chow Kit dan Sero) yang setia dan sangat menghormatinya. Mereka bersedia bekerjasama dan membantu dia menjejak penculik Aina.

Walaupun cerita ini ringkas tetapi perjalanan plotnya berkembangan dengan kemas dan cukup menarik. Watak Pok Ya dijayakan penuh karisma oleh sutradaranya sendiri. Hampir keseluruhan watak dalam telefilem terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd., ini menggunakan dialek Kelantan.

Kami senaraikan 5 sebab lain yang membuat Pok Ya Cong Codei tular dan menjadi perbualan ramai.

1. Menerusi watak Pok Ya, penonton dapat melihat sisi dunia gangster yang berbeza tetapi penuh pengisian. Ada budaya dan prinsip tersendiri yang ditegaskan melalui perbuatan, tindakan dan percakapannya.

Bagaimana Pok Ya yang digambarkan seorang ‘lelaki gedebe’ tetapi mempunyai sisi baik yang harus dipuji dan dijadikan contoh. Ia berbeza daripada cerita geng samseng yang banyak ditonjolkan sebelum ini, ganas dan tiada belas kasihan. Sekali gus watak ini memberitahu masyarakat penonton, samseng zaman dahulu bukan hanya mahu bergaduh semata-mata, tetapi bertindak mengikut akal waras.

2. Jalan ceritanya ringkas tetapi sukar dijangka apakah akan berlaku pada babak seterusnya.

3. Semua pelakon pembantu berjaya menghidupkan watak dan perjalanan cerita dengan baik sekali.

4. Walaupun tiada adegan lasak, tetapi cerita bergerak dengan kekuatannya tersendiri terutama dialog yang diucapkan Pok Ya yang mempunyai banyak kiasan, maksud tersirat dan padu.

Antaranya,”Kalu aku nak kutik ambik tahu seremo masaloh ore, baik aku jadi menteri!” “Kalu bini aku kena wak lari kokre, hujung dunio aku cari lagi. Tapi kalu dey dio sediri nok lari, dok nusuk blake rumoh ni pun aku tok cari.” “Mudoh cari bini baru dari bini lari.”

5. Dengar dan lihat juga bagaimana cara Sabri memberikan beberapa informasi menarik mengenai wanita Kelantan. Misalnya menerusi pujiannya untuk Siti (isteri Pok Ya) yang digambarkan seorang gadis cantik berasal dari Pasir Mas.

Selain cantik, walaupun baru berusia 19 tahun tetapi Siti pandai memasak Nasi Kerabu yang menjadi kegemaran Pok Ya. “Aku kalu dah ngadap Nasi Kerabu mu ni, mari dewa atas langit turun pun aku tak tubek.”

Tidak keterlaluan jika disifatkan, Pok Ya Cong Codei memberi nafas baharu dalam penceritaan kisah seorang samseng. Tanpa aksi ganas, babak tembak-menembak atau penggunaan senjata tajam seperti pisau, pedang dan lain-lain, tetapi mampu memberi kesan luar biasa kepada penonton.

Maklum balas daripada netizen yang menonton telefilem ini cukup memberangsangkan. Ramai berharap akan ada sambungan dari kisah ‘isteri muda bergetah’ Pok Ya yang lari dari rumah. Ini membuktikan pertaruhan Sabri sebagai Pengarah, Penulis Skrip dan Pelakon Utama berjaya menambat hati masyarakat penonton. Sekali lagi, Otai masih berbisa!

Sedutan telefilem Pok Ya Cong Codei

comments

Sambal Mangga Muda I
Terima Mesej Peribad

nishaeimann@gmail.com

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja